Thursday, September 25, 2008

PENUHI MASA MUDAMU...


At-Tirmizi dan Muslim meriwayatkan hadis daripada Amru bin Maimun RA bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW telah menyampaikan pengajarannya kepada seorang lelaki dengan sabda baginda:


"Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara ynag lain iaitu, masa muda engkau sebelum datangnya hari tua; masa sihat engkau sebelum datang masa engkau dilanda sakit; masa kaya engkau sebelum engkau jatuh papa; masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk; dan masa hidup engkau sebelum datangnya saat kematian"

Peringatan di atas jelas menunjukkan bahawa nikmat Allah kepada kita terlalu banyak, dan semuanya terpulang kepada kita bagaimana hendak menggunakannya. Salah satu cara untuk bersyukur adalah dengan menggunakan nikmat yang Allah bagi dengan sebaiknya. Peluang yang pertama Rasulullah katakan dalam hadis di atas ialah mengenai usia muda, usia di mana keadaan kita masih mempunyai kekuatan yang lebih, usia di mana nafsu kita meluap-luap untuk melakukan sesuatu, dan juga usia di mana dikatakan penuh dengan keseronokan.

Semua manusia akan melalui zaman mudanya sekali seumur hidup, oleh itu Rasulullah telah mengingatkan kita agar pergunakan zaman muda ini dengan sebaiknya. Masa muda tidak akan bertahan kerana usia akan menjangkau dewasa dan akhirnya tibalah masa tua. Bila tiba masa tua, segala-galanya tidak ada yang indah, kudrat tenaga sudah lemah, selera makan sudah menurun meskipun disajikan makanan yang serba lazat. Di masa tua juga sering dilanda sakit kerana keupayaan fizikal untuk melawan penyakit semakin lemah, keterbatasan pula mula melingkungi diri.


Masa muda yang diberikan percuma oleh Allah itu, akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak, kerana ia bukan sahaja suatu niknat, anugerah, tetapi juga amanah untuk kita yang bergelar manusia. Segenap masa muda yang dipenuhi dengan perkara yang selayaknya sebagai seorang mukmin, sama ada dalam bidang ilmu dan amal, pasti akan menjadikan masa tuanya penuh dengan kesyukuran. Jika tidak, Allah SWT telah mengingatkan hamba-NYA dengan firman-NYA.

"Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat serendah-rendahnya kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus."
( At-Tin: 4, 5, dan 6 )

No comments: