Friday, November 13, 2009

You Came To Me

video

You came to me in that hour of need
When I was so lost, so lonely
You came to me took my breath away
Showed me the right way, the way to lead

You filled my heart with love
Showed me the light above
Now all I want, is to be with you

You are my one true love
Taught me to never judge
Now all I want, is to be with you

You came to me in a time of despair
I called on you, you were there
Without You what would my life mean?
To not know the unseen, the worlds between

For you I'd sacrifice
For you I'd give my life
Anything, just to be with you

I feel so lost at times
By all the hurt and lies
Now all I want, is to be with you

Showed me right from wrong
Taught me to be strong
Need you more than ever
Ya Rasul ALLAH

You came to me
In that hour of need
Need you more than ever
Ya Rasul ALLAH

You filled my heart with love
Showed me the light above
Now all I want is to be with you

You are my one true love
Taught me to never judge
Now all I want, is to be with you

Showed right from wrong
Showed me right from wrong


Thursday, October 15, 2009

BILAKAH DOAKU AKAN DIMAKBULKAN???


APABILA ALLAH CEPAT MAKBULKAN DOAMU, MAKA DIA MENYAYANGIMU...

Firman Allah, maksudnya: "Dan apabila hamba-hambaKU bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka): Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKU. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKU dan hendaklah mereka beriman kepadaKU supaya mereka menjadi baik serta betul."
(Surah al-Baqarah: 186)


APABILA DIA LAMBAT MAKBULKAN DOAMU, DIA INGIN MENGUJIMU...

Menurut al-Khatabi: "Jika Allah tidak menjawab doa seseorang, Dia akan memberikan kepadanya ketenangan dan kelapangan dalam hatinya atau mengelakkan dirinya daripada kecelakaan, atau menggantinya dengan pahala."
Menurut Hukama: "Manusia menyangka doa mereka tidak dimakbulkan, sedangkan ia dimakbulkan melebihi daripada apa yang dipohon, atau ia menolak dengan musibah atau penyakit lebih banyak daripada apa yang dipinta, atau diberikan ganjaran pada hari Kiamat."

APABILA DIA TIDAK MAKBULKAN DOAMU, MAKA DIA MERANCANG SESUATU YANG LEBIH BAIK UNTUKMU...


Firman Allah, maksudnya: "Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu, dan boleh jadi kamu suka pada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu) sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah al-Baqarah: 216)


OLEH ITU, SENTIASALAH BERSANGKA BAIK PADA ALLAH...


Firman Allah SWT, maksudnya: "Aku bersama sangkaan hambaKU terhadapKU, maka bersangka tentang KU apa sahaja yang kamu ingini." (Hadis Qudsi)


Ingatlah bahawa, setiap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya... Sama ada kita bijak menilai dari mata hati... Tepuk dada, tanya iman... Sesungguhnya, DIA lah sebaik-baik perancang...

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim...
Sebagaimana Engkau telah menguji kami, berikanlah kami jalan-jalan untuk meyelesaikan masalah kami... Berikan kami jalan-jalan untuk menyelesaikan masalah kami... Berikan kami jalan-jalan untuk menyelesaikan masalah kami...

Thursday, August 20, 2009

RAMADHAN...

SALAM MAHABBAH...


Ramadhan datang lagi, apakah persediaan untuknya? Sama-samalah kita tingkatkan amal di bulan ini, mungkin ini adalah Ramadhan yang terakhir buat kita. Sapa tahu..

Tuesday, August 18, 2009

DOA UNTUK SEMUA...


Salam mahabbah buat semua sahabat sahabiah. Kali ni terdetik untuk post doa yang menjadi amalan para pejuang agamaNYA. Moga dengannya, hati kita menjadi lebih kuat dan terus bersemangat berjuang dalam satu barisan yang tersusun kukuh/ satu jamaah.

Ya ALLAH, kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut namaMU, hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMU, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMU.


Ya ALLAH, kurniakan kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap.

Ya ALLAH, kurniakanlah kami cara hidup yang jitu dan unggul, selamat dari segala mara bahaya dan petaka. Kami mohon (Ya ALLAH) kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain. Berikanlah kami iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain daripada Engkau sendiri.


Ya ALLAH, kembangkanlah lembayung rahmatMU kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami. Jangan Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri , walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu.

Wahai Tuhan yang paling mudah dan cepat memperkenankan pinta (perkenankanlah). Amiiin...

DOA PENGIKAT HATI


Ya ALLAH, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini berkumpul kerana mengasihiMU, bertemu untuk mematuhi perintahMU, bersatu memikul beban dakwahmu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMU, maka eratkanlah Ya ALLAH ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNYA (yang sebenar). Penuhkanlah hati ini dengan cahaya RabbaniMU yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman/keyakinan dan keindahan tawakkal lepadaMU. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma'rifat (pengetahuan sebenar) tentangMU. (Jika Engkau mentakdirkan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMU. Engkau sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.


Ya ALLAH perkenankanlah permintaan ini.

Saturday, July 25, 2009

...

Bismillahirrahmanirahim....

Assalamualaikum...

Pertama-tama dan selama-lamanya, bersyukur ke hadrat Ilahi dengan nikmat iman dan Islam yang masih kekal dalam hati dan diri ini dan juga sahabat-sahabat seperjuangan. Juga nikmat kekuatan dan kesihatan yang masih mengalir dalam diri untuk terus bergerak di atas bumiNYA ini.

Bergerak sehingga hari ini di kampus, banyak perkara yang dilalui. Yang terbaru Pembangunan Modal Insan (PMI). Program khas untuk membentuk adik-adik yang baru mengenal dunia kampus. Salah satu program yang banyak mendidik dan juga merupakan permulaan @ titik kepada penyatuan hati adik-adik untuk lebih dekat kepada Islam.

Melihat PMI kali ini, penyertaan daripada pelajar tahun satu memberangsangkan tetapi tidak seramai tahun lalu. Melihat kepada kuantiti peserta tidak pernah melemahkan AJK untuk meneruskan pengisian dan aktiviti yang telah dirancang. Pengisian yang memberi impak yang positif dari segi dalaman @ rohaniah bagi individu yang dapat menilai melalui mata hati.

Walaupun terdapat pihak yang kurang berpuas hati dengan program, tapi ambillah pengajaran yang dapat kita pelajari daripada apa yang cuba disampaikan oleh pihak penganjur. Program sebegini sememangnya program yang banyak sangat cabaran untuk dilaksanakan di peringkat kampus, tetapi ingatlah dalam menggapai sesuatu yang indah kita semua perlukan pengorbanan.

Kepada semua adik-adik yang telah terpilih untuk menjadi ahli DIMAN, istiqamah dalam usrah adik-adik. Kalau adik-adik dapat hayati konsep usrah, insyaALLAH semua itu dapat membantu adik-adik di masa akan datang.

Friday, June 26, 2009

CORETAN RINGKAS...

Assalamualaikum W.B.T...

Kepada sahabat-sahabat yang mengunjungi blog ini walaupun dah sebulan tak update, syukran... Salam kembali kepada semua sahabat-sahabat yang telah kembali ke kampus masing-masing, samada di UMS (kampus tercinta) atau di mana-mana sahaja tempat kita meneruskan perjuangan mencari ilmu Allah...

Sekembalinya saya ke kampus, rasa gembira dapat bertemu dengan sahabat-sahabat yang sebulan tak berjumpa... Berkongsi bersama pengalaman sepanjang cuti sebulan yang mana memberikan pengalaman dan menambahkan ilmu yang berbeza bagi semua sahabat...

Salah satu nikmat yang saya amat syukuri, nikmat bersama sahabat seperjuangan. Sahabat yang bila mana kita berada dalam susah, mereka bersama-sama dan bila mana kita berada dalam gembira, mereka juga meraikan bersama. Dan nikmat inilah yang saya perolehi di kampus tercinta bersama-sama sahabat yang lain.

Terkenang akan kakanda kami yang telah kembali kepadaNYA di kala kami masih memerlukannya. Allahyarhamah Siti Aisyah Bakri (Al Fatihah), yang merupakan senior di sekolah menengah dan di matrikulasi dan bersama-sama menjejakkan kaki ke UMS untuk menambah ilmu Ilahi. Walaupun telah hampir setahun permergiannya, kebersamaan tetap kami rasai. Salah satu nikmat yang amat disyukuri.

Kepada sahabat-sahabiah, rakan seperjuangan terima kasih atas segala kasih sayang dan segala ilmu yang telah dicurahkan... Dan jutaan kemaafan dipohon atas perbuatan diri yang kurang menyenangkan sehinggakan menimbulkan kesan sakit di hati... Kepada sahabat-sahabiah juga andai ada perbuatan yang saya lakukan jauh dari syariatNYA dan yang memberi fitnah kepada agama, tegur dan didiklah saya... Diri ini amat memerlukan pertolongan sahabat semua...

Saturday, May 9, 2009

HARI IBU...

Salam sahabat n sahabiah semua... Lama sangat x update blog ni... Tapi hari-hari jenguk gak cuma xda idea nak mencoret, lagi-lagi diri ini xtahu sangat nak menulis...

Cuma bila teringat esok Hari Ibu, saya terdorong untuk post sedikit tentang keluarga saya... Rasa rindu sangat nak balik rumah, lagi-lagi semua orang dah balik, yang tinggal kami-kami yang nak pergi field dan sahabat-sahabat yang sentiasa bersemangat untuk berjuang di bumi Sabah tercinta ini...

Kepada semua ibu-ibu di mana-mana sahaja di bumiNYA ini, "Selamat Hari Ibu"... Dan yang teristimewa buat mak tersayang,

Mak,
Ketegasan mak buatkan kami adik-beradik memang takut ngan mak, tapi dengan ketegasan itulah yang membimbing kami adik-beradik hingga ke diri kami hari ini...

Mak,
Kami bersyukur dengan semua yang mak telah berikan kepada kami dari keluarnya kami daripada rahim mak sehinggalah kami di hari ini...

Mak,
Terima kasih atas segala kasih dan sayang mak yang telah mak curahkan pada kami, semuanya kami xdapat balas walaupun hingga ke akhir hayat kami...

Mak,
Kami mohon maaf atas segala kedegilan kami, kesalahan kami, dan semuanya yang mungkin membuatkan mak terasa walaupun mak xtunjukkan... Kami minta maaf mak...

"Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami... Kasihanilah mereka sebagaimana mereka telah mengasihi kami sejak dari kecil..."

Yang disayangi dan dirindui selalu

Dan kepada ketiga-tiga kakak tersayang yang telah bergelar ibu... "Selamat Hari Ibu"...

Kakak Pertama... Kak Nani

Kakak kedua... Kak Abi

Kakak ketiga... Kak Ube

Friday, April 17, 2009

IMTIHAN...





JIHAD AKADEMIK!!!

MA'A TAUFIQ WANNAJAH FIL IMTIHAN

FFM


PERSOALANNYA...

1. Kenapa universiti yang menjadi tempat untuk dilangsungkan?


2. Adakah ianya memberi manfaat kepada pelajar?

3. Adakah ianya memberi nama baik kepada sesebuah universiti?


4. Adakah pasti budaya hedonisme dapat dikurangkan daripada diri pelajar?


5. Adakah benar universiti tempat untuk menuntut ilmu?


Mahasiswa di luar sana, anda berhak untuk menilai.

Saturday, April 4, 2009

RENUNGAN...


Takutlah pada Allah dalam melaksanakan apa yang diperintahkan oleh manusia dan janganlah kamu takut kepada manusia dalam melaksanakan perintah Allah. Ketahuilah bahawa Allah SWT berkuasa untuk melindungi kamu daripada kemarahan manusia yang tidak berkuasa melindungi kamu daripada kemurkaan Allah


Ya Allah, ampunilah untuk kami dosa-dosa kami dan kejahilan kami dan sifat melampau dalam urusan kami, dan Engkau lebih mengetahui daripada kami..
Ya Allah, ampunilah kami dalam usaha kami, dan gurau senda kami, dan kesalahan kami, dan kesengajaan kami, semua itu di sisi kami..
Ya Allah, ampunilah untuk kami apa yang telah kami kerjakan dan apa yang akan datang dan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan, tidaklah Engkau melainkan lebih mengetahui dengannya daripada kami, Engkaulah yang Terawal dan yang Terakhir dan Engkau berkuasa atas setiap sesuatu..


Sunday, March 22, 2009

Akhir Zaman Yang Penuh Dengan Fitnah...

Sesungguhnya fitnah merupakan satu elemen yang cukup bahaya, apatah lagi fitnah terhadap agama yang boleh menjurus kepada hukum membunuh, kerana al-Quran ada menegaskan bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan. (maksud ayat 191 dan 217 surah al-Baqarah).

Baginda Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan dalam salah satu hdinya yang bermaksud : "Bersegeralah lakukan amalan-amalan yang baik-baik (jika ia di waktu siang jangan tunggu hingga menjelang malam yang gelap gelita), kerana ia akan menimbulkan fitnah, seperti seorang lelaki di mana pada waktu pagi dia seorang muslim dan apabila menjelang petang atau malam dia menjadi seorang kafir pula, dia menjual agama kerana kepentingan dunia yang terlalu sedikit." Hadis Sohih riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tirmizi daripada Abu Hurairah.

Apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. menerusi hadis di atas ialah terdapat orang Islam sendiri yang melakukan fitnah dengan tindakannya terhadap agamanya sendiri semata-mata mengecapi habuan dan janji dunia yang bersifat sementara, sedangkan fitnah yang dilakukannya benar-benar mencabar agama yang dianutinya dan menjadi bahaya kepada pegangan akidah dan kepercayaan kepada Allah SWT selaku Pencipta alam maya ini.

Fitnah yang terjadi itu boleh berlaku kerana orang yang terlibat itu sama ada benar-benar tidak memahami atau memiliki ilmu-ilmu fardu ain ataupun kerana berhasrat meraih kepentingan dengan penampilan agama, atau memang di kalangan orang-orang munafiq, ketiga-tiga kategori manusia itu dianggap golongan yang jahat kerana mahu memburukkan Islam.

Jenis-jenis fitnah terhadap agama Islam

1- Fitnah melalui kepimpinan negara.

2- Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan.

3- Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian.

4- Fitnah melalui ungkapan.

5- Fitnah melalui penulisan.

6- Fitnah melalui iklan produk.

7- Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan.

8- Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid.

9- Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat.

10- Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia.

1- Fitnah melalui kepimpinan negara.

Terdapat para pemimpin negara-negara umat Islam, yang tidak segan silu untuk mengisytiharkan bahawa mereka telah melaksanakan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara dan boleh dikatakan negara mereka adalah sebuah Negara Islam, sedangkan pada masa mereka mentadbir dengan sistem Sekular, Kapitalis, Sosialis dan lain-lain.

Yang tidak menampakkan Islam secara jelas, isteri-isteri mereka tidak memakai hijab (tudung kepala) serta menutup aurat dengan sempurna, tidakkah tindakan mereka itu telah memfitnah Islam secara langsung di hadapan orang-orang bukan Islam yang keliru dan terus keliru.

2- Fitnah dalam belajar kerana mahu dapat jawatan.

Tidak kurang juga terdapat golongan ahli ilmu agama ketika sedang menuntut satu ketika dahulu, telah menanam hasrat untuk lulus cemerlang agar pulang nanti ditawarkan jawatan yang selesa, tetapi pada masa yang sama mereka lupa bahawa ketika menyandang jawatan penting di jabatan keagamaan, mereka tidak menjalankan tugas dengan sempurna, membiarkan perkara mungkar terus berlaku (takut nak tegur kerana bimbang tidak dinaikkan pangkat atau ditukar ke jabatan lain).

Tidak cukup dengan itu, idea untuk menyatakan perkara-perkara makruf agar jadi program utama pun terkadang-kadang tidak berani untuk dilakukan, bimbang dilabel golongan yang melawan pihak atasan, akhirnya masyarakat jadi keliru kerana golongan ahli agama pun bercakap tidak serupa bikin.

3- Fitnah melalui penampilan diri dan cara berpakaian.

Disebabkan kerana kurang pendedahan maklumat agama, sama ada tidak mahu duduk dalam majlis ilmu agama atau ceramah, maka ramai di kalangan orang Islam dalam negara Malaysia ini memperlihatkan penampilan diri mereka benar-benar tidak Islamik langsung.

Ada di kalangan golongan remaja Islam yang bertatoo, menampakkan pusat (perempuan), bergelang tangan, berantai dan bertindik (yang lelaki), mencukur bulu kening, memakai rambut palsu, yang perempuan menyerupai lelaki atau yang lelaki menyerupai perempuan.

Cara bercakap seperti orang bukan Islam, berlepak, merempit tanpa hala tuju hidup, mendurhaka dan melukai perasaan kepada ibu bapa, menyakiti jiran dan banyak, tidakkah semua tindakan itu fitnah terhadap Islam, kerana Islam tidak pernah mengajar penganutnya berbuat demikian.

4- Fitnah melalui ungkapan.

Terdapat di kalangan orang Islam yang memfitnah Islam dengan ungkapan mereka seperti kata-kata : Islam tidak relevan pada zaman orang mengejar Sains dan Teknologi, undang-undang Islam seperti hudud, qisas, takzir dan lain-lain sudah tidak sesuai pada hari ini, ia hanya boleh dilaksanakan di padang pasir di zaman Rasulullah s.a.w.

5- Fitnah melalui penulisan.

Terdapat juga segelintir penulis yang pro aliran songsang yang memperlekeh hukum-hukum Islam dalam blog, rencana atau buku-buku tulisan mereka, ia disifatkan sebagai satu tindakan berani kerana mereka tahu bahawa tindakan itu tidak akan dikenakan apa-apa.

6- Fitnah melalui iklan produk.

Satu lagi fitnah yang tidak dapat dikawal akibat kelemahan para pemimpin negara ialah kecenderung syarikat-syarikat mempromosi produk mereka dengan menggunakan khidmat model-model Melayu/Islam, ada yang mendedahkan aurat, kepala semata-mata untuk menunjukkan bahawa produk mereka cukup berkesan tiada tompok-tompok hitam di badan model.

7- Fitnah melalui penglibatan dalam sukan dan hiburan.

Para atlet negara termasuk yang angkat berat disertai atlet muslimah yang cukup menggiurkan ketika menunjukkan aksi mengangkat berta, termauk dalam sukan jimrama, renang, hoki dan lain-lain.

Begitu juga pendedahan aurat di kalangan penghibur seperti penyanyi, pelakon, pelawak wanita juga tidak kurang yang memakai pakaian yang tidak sesuai dengan jenama mereka sebagai orang Islam. Semua itu dianggap memfitnah Islam kerana menggambarkan seolah-olah Islam membenarkan tindakan itu.

8- Fitnah berbangga kerana berjaya memperbanyakkan bilangan masjid.

Satu lagi fitnah di akhir zaman ini ialah terlalu berbangga dengan bilangan masjid yang banyak, tetapi kosong dengan pengajian agama, malah terdapat pula replica masjid yang menelan blanja jutaan ringgit tetapi tidak boleh solat Jumaat di dalamnya.

9- Fitnah kerana meninggalkan kewajiban beribadat.

Ramai di kalangan pekerja Islam, bukan yang menceburi bidang binaan, yang bekerja dalam bilik berhawa dingin pun tidak melakukan solat fardu atau Jumaat, terdapat scenario di mana ada pekerja muslim di sebuah kilang ditegur majikan yang bukan Islam mengapa mereka tidak pergi menunaikan solat Jumaat.

10- Fitnah kerana tidak menunjukkan akhlak Islam yang mulia.

Disebabkan tidak menguasai dengan baik ilmu-ilmu fardu ain, maka ramai di kalangan individu Islam tidak bercakap benar, melakukan pecah amanah berjuta ringgit, rasuah, penipuan, menggelapkan wang tabung haji dan sebagainya, menunjukkan sikap dan akhlak orang Islam sangat kritikal, sekali gus ia memfitnah agama Islam yang suci.

Sesungguhnya mereka itu semua berdosa di hadapan Allah kerana tidak menunjukkan sesuatu tindakan yang baik terutama kepada golongan yang lebih muda ataupun di kalangan bukan Islam yang merasakan Islam menjana kegiatan yang tidak bermoral.

Justeru, asas kepada pengukuhan jati diri muslim bersama agama Islam dalam apa jua keadaan, sama ada ketika Islam berada di puncak atau sedang berada di bawah, namun dia tidak akan berganjak walau setapak pun kerana begitu yakin bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diperakui benar di sisi Allah SWT.

sumber: harakahdaily.net

Tuesday, March 10, 2009

MARI SEMPURNAKAN SOLAT...



Kepada semua muslimin dan muslimat Kolej Kediaman Indah Permai, diharapkan dapat memeriahkan lagi Bengkel Pengukuhan Solat kali ni.


Monday, March 9, 2009

SALAM MAULIDUR RASUL...




YA RASULULLAH...

Ketika Rasulullah SAW menjelang kewafatannya, Baginda sedang terbaring di tempat tidurnya di dalam rumahnya. Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seseorang yang mengucapkan salam. “Bolehkah saya masuk ?” tanyanya. Tapi Saidatina Fatimah tidak mengizinkannya masuk, “Maaf, ayahku sedang tidak dapat ditemui” kata Saidatina Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahandanya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya kepada Saidatina Fatimah “Siapakah itu wahai anakku ?”. “Tidak tahu ayah, sepertinya aku baru kali ini melihatnya” tutur Saidatina Fatimah lembut.

Lalu, Rasulullah SAW menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah setiap bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. “Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut” kata Rasulullah SAW, Saidatina Fatimah pun menahan tangisnya.

Malaikat maut datang menghampiri, kemudian Rasulullah SAW menanyakan kenapa Jibril tidak ikut bersama menyertainya. Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini. “Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah ?” Tanya Rasululllah SAW dengan suara yang amat lemah. “Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu” kata Jibril.

Tapi itu tidak membuat Rasulullah lega, Rasulullah SAW masih penuh kecemasan. “Engkau tidak senang mendengar khabar ini ?” tanya Jibril lagi. “Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak ?”. “Jangan khuatir wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku : ‘Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya” kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah SAW ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah SAW bersimbah peluh. “Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini”.

Mata Saidatina Fatimah terpejam, Saidina Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. “Tidak sukakah engkau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?” tanya Rasulullah SAW pada Malaikat penghantar wahyu itu. “Siapakah yang sanggup melihat kekasih Allah diragut ajal” kata Jibril. “Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku”.

Badan Rasulullah SAW mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu. Saidina Ali segera mendekatkan telinganya “Uushiikum bis-shalaati, wa maa malakat aimaanukum - peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu”.

Di luar, tangis para sahabat mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Saidatina Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Saidina Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan. “Ummatii, ummatii, ummatiii! - Umatku, umatku, umatku”.

Dan, berakhirlah hidup manusia yang paling mulia yang memberi cahaya bagi kegelapan, ubat dari seluruh penyakit, penghulu seluruh manusia, rahsia dari segala rahsia, dan makhluk paling sempurna. Rasul yang sangat bimbang akan nasib umatnya daripada dirinya.

Betapa cintanya Rasulullah kepada kita. Namun, bagaimanakah cinta kita kepada Rasulullah? Sudahkah kita mengikuti seluruh Sunnahnya?

Thursday, February 26, 2009

TAUBAT...


Taubat atau taubah berasal daripada perkataan yang bermaksud kembali. Dalam istilah tasawuf, taubat adalah kembali kepada Allah dengan menghurai ikatan dosa yang terus-menerus dari hati kemudian melaksanakan setiap hak Tuhan. Definisi ini menunjukkan seseorang yang bertaubat mestilah menghuraikan ikatan dosa daripada dirinya ieitu meninggalkan dosa yang dilakukan secara total.Tidak cukup dengan itu, seseorang yang bertaubat mestilah konsisten atau istiqamah dalam taubatnya secara ikhlas dan melaksanakan segala tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Oleh itu, Imam Ghazali mengatakan makna taubat itu tersusun daripada tiga perkara iaitu ilmu, keadaan dan perbuatan. Ilmu yang bermakna pengetahuan seseorang tentang betapa besarnya dosa yang dilakukan yang menjadi dinding di antaranya dengan Khalik. Apabila dia mengetahui tentang ini, hatinya akan berasa sakit kerana kehilangan sesuatu yang dicintai(Allah). Seterusnya perasaan sakit ini akan menguasai hatinya menyebabkan dia mempunyai niat untuk melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan masa sekarang, masa lepas dan masa akan datang.


Perbuatan sekarang ialah meninggalkan dosa yang sedang dilakukan secara serta-merta dan berazam tidak akan mengulangi dosa itu kembali pada masa yang akan datang. Manakala perbuatan yang berkaitan masa lepas ialah dia akan melakukan kebaikan yang tidak dapat dilakukan sebelum ini atau menqada' kembali sebarang kewajipan yang telah ditinggalkan.


Hukum Taubat


Para ulama menjelaskan taubat adalah wajib bagi setiap dosa sama ada dosa kecil atau dosa besar. Taubat yang paling besar ialah taubat daripada kekufuran kepada keimanan. Kemudian taubat daripada dosa besar dan begitulah seterusnya.


Syarat-syarat Taubat

Imam al-Nawawi menyebut dalam ada tiga syarat yang perlu dipenuhi oleh orang yang bertaubat. Ini adalah taubat jika maksiat itu hanya antara kita dengan Allah dengan erti kata lain, tidak ada kaiatan dengan hak--hak manusia. Syarat-syarat tersebut ialah:

i) Meninggalkan daripada perbuatan maksiat tersebut.
ii) Menyesal atas perbuatannya
iii) Berazam tidak akan kembali melakukannya selama-lamanya.

Syeikh Soleh al-Uthaimin ttelah menambah syarat-syarat taubat sehingga menjadi lima perkara, iaitu:
i) Ikhlas kepada Allah

ii) Menyesal atas segala perbuatan maksiat
iii) Segera meninggalkan maksiat
iv) Berazam tidak akan kembali melakukannya
v) Taubat hendaklan berlaku dalam masa yang diterima oleh Allah

Thursday, February 12, 2009

Innallaha Ma'ana


Bersyukur kepada orang yang menyakiti kamu,
Kerana dialah yang menabahkan hatimu.

Bersyukur kepada orang yang menipu kamu,

Kerana dialah yang meningkatkan pengetahuan kamu.

Bersyukur kepada orang yang tidak mengendahkan kamu,

Kerana dialah orang yang memupuk berdikari kamu.

Bersyukur kepada orang yang menjatuhkan kamu,

Kerana dialah yang memperhebat abiliti kamu.

Bersyukur kepada orang yang menyeksa kamu,

Kerana dialah orang yang menguji kesabaran kamu.


Dan ingatlah bahawa semua itu dari Allah, Dialah yang menjadikan manusia sebagai teguran/ penyampai kepada manusia yang lain. Semua yang berlaku ada hikmahnya, pandanglah ia melalui pandangan hati yang boleh menilai baik buruknya apa yang terjadi. Lumrah hidup, tiada yang indah di pandangan mata. Lumrah gidup jua perlunya usaha untuk mencapai apa yang diinginkan. Lumrah hidup jua kita tidak boleh puaskan hati semua pihak.

Jika Allah sayang seseorang, Allah bagi iman,
Jika Allah sayang lagi, Allah bagi kekuatan untuk beramal dengan sempurna,

Jika Allah sayang lagi, Allah akan susahkan hambaNYA dalam hidupnya terutama dalam urusan menjaga dan menegakkan agama...



Saturday, January 31, 2009

MARI MERIAHKANNYA...

1 Februari 2009

7.30 pagi : Jogathon FKI
10.00 pagi : Penyampaian Hadiah

* Tapak parkir Masjid UMS

08.00 malam : Forum Bicara Ad-Din "Palestin Isu Sejagat"

* Dewan CD

2 Februari 2009

9.00 pagi : Pertandingan Kategori Sekolah Menengah
- Tilawah Al-Quran
- Dikir Islam
- Nasyid

* Perpustakaan

8.00 malam : Kuliah Cinta Illahi 'Ketika Cinta Bertasbih'
- Ustaz Norazamuddin Umar dan Ustazah Siti Nor Bahyah

(Tiket boleh didapati di foyer perpustakaan, atau hubungi Saudara Renifezri Mohamed - 0148684652)

* Dewan Canselor


3 Februari 2009

9.00 pagi : Pertandingan Kategori Pra-Sekolah
- Pidachil
- Nasyid
- Mewarna

2.00 petang : Pertandingan Kategori Sekolah Rendah
- Pidachil
- Kompang
- Hafazan

* Bilik Tayangan, Perpustakaan

8.00 malam : Nisa' Nite

4 Februari 2009

9.00 pagi : Pertandingan Nasyid Terbuka IPT
11.00 pagi : Majlis Penyampaian Hadiah

* Perpustakaan

5 Februari 2009

Sepanjang Hari - Persiapan Majlis Penutupan

* Dewan Canselor

6 Februari 2009

6.50 pm : Perasmian Penutupan
8.30 malam : Konsert Amal Jalinan Ukhwah UNIC

* Dewan Canselor UMS

(Tiket boleh didapati di foyer perpustakaan, atau hubungi Saudara Faiz Kassim - 0148728003 atau Saudari Wan Nur Ilani - 0199754085)

SUMBER: http://fki09.blogspot.com/

Tuesday, January 20, 2009

Duhai Muslimat...

"Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka , atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau para perempuan (sesama Islam) mereka, atau hamba sahaya yang mereka miliki, atau para pelayan lelaki (tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan), atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung."
(An - Nur: 31)

Wahai muslimat, beruntunglah kerana Allah berikan petunjuk melalui firmanNYA di atas. Cara untuk menutup aurat dan kepada siapa yang boleh diperlihatkan. Cuba kita renungi, betapa Allah amat menyayangi kita sebagai hambaNYA dan memberi kita panduan untuk kita selamat di dunia yang DIA ciptakan ini.

Melihat situasi pada hari ini kadang-kadang membuatkan aku untuk berfikir dan membuat satu kesimpulan. Apa yang dapat kusimpulkan melalui cara pakaian muslimat/ wanita muslim hanyalah, menutup aurat bagi mereka adalah menutup rambut. Kita boleh lihat dengan wujudnya fesyen tudung yang hanya seperti skaf yang menutup rambut, tapi bezanya ianya dihias dengan bunga ditepi dan nampak lebih bergaya.



Masyarakat kita di zaman ini adalah masyarakat yang suka mengikut tapi tidak tahu untuk berfikir. Adakah apa yang ingin diikuti itu adalah baik atau sebaliknya. Tapi manusia pada realitinya lebih suka pandang pada zahirnya tapi tidak mahu untuk memandang jauh di sudut hati dan nurani, yang penting bagi mereka ianya anggun dan can tik pada pandangan manusia. Wahai saudariku, pandangan manusia kita tidak boleh bawa ke akhirat nanti, pentingkanlah pandangan Allah untuk kesenanganmu di sana.

Kepada semua muslimat,
1. Pakailah tudung yang panjang dan dapat menutupi dadamu.
2. Tudung yang tebal dan Tidak memperlihatkan tengkungmu.
3. Pakailah baju yang tidak menunjukkan susuk tubuhmu.
4. Pakailah seluar yang tidak menunjukkan bentuk kakimu.
5. Pakailah baju yang labuh dan dapat menutupi lenggokmu.
6. Pakailah stokin untuk menutupi kakimu.
7. Pakailah kasut yang bertapak getah untuk tidak menarik perhatian.

Ingatlah wahai muslimat, Allah ciptakamu dengan keadaan yang cukup indah dan sempurna. Jika kamu ingin keindahan itu kekal ada padamu, tutuplah ia dan peliharalah ia untuk orang yang sepatutnya engkau perlihatkan.



Friday, January 9, 2009

Apa Tindakanmu?

"Salam, apa tindakan kamu untuk saudara seIslam kamu di Ghaza?" Satu sms yang membuatku berfikir. Dan aku mengambil keputusan untuk bertanya kepada orang yang sepatutnya. Alhamdulillah aku mendapat jawapannya...

Apa yang aku dapat?
1. Doa banyak-banyak

2. Boikot secara besar-besaran barangan US

3. Buat demo tunjukkan bantahan

4. Sumbangan duit

5. Beri kesedaran kepada sahabat-sahabat @ kawan-kawan yang tidak sedar


BOIKOT

Kadang-kadang kita boleh cakap tentang suatu benda tapi kita tak tahu cara untuk melaksanakan. Dan ini amat dibenci oleh Allah, seperti dalam firmanNYA:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapakah kamu mengatakan sesuatu
yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu
mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan." (As-saff: 2-3)


SAMA-SAMA KITA SALING MEMBERI PERINGATAN...

Monday, January 5, 2009

Peduli Palestin..

Jika anda berniat mendermakan sebahagian daripada wang anda untuk Palestin, anda sebenarnya masih tak faham - faham isu Palestin. Palestin bukan soal derma dan sedekah. Palestin adalah jihad dan kewajiban. Tuhan kita berkata, berjihadlah dengan harta dan nyawa kamu..

Wang, bahkan nyawa setiap umat Islam adalah tagihan Allah untuk bumi yang disucikanNya itu. Tiada muslim yang tidak mengambil bahagian di dalam jihad Palestin sepanjang zaman kecuali tuahnya pasti direntap bumi suci itu di akhirat nanti.

Palestin adalah sebahagian ujian Allah ke atas umat nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Dari tiga bumi suciNya ( tanah haram ) itu, Allah memberi keamanan untuk Makkah dan Madinah, tetapi tidak untuk Palestin. Palestin sentiasa berdarah dan jika ia aman seketika atau lebih lama daripada itu, di sekelilingnya adalah penuh dengan komplot dan konspirasi musuh untuk merampas dan menghancurkannya kembali.

Ia menjadi rebutan sepanjang zaman untuk umat tiga agama langit yang memiliki kitab samawi masing - masing yang mendakwa sejarah pendudukan dan pemerintahan di situ. Jika tidak kerana Allah menghukum dan memutuskan bahawa bumi haramNya itu adalah milik hambaNya yang bertaqwa yang berada di atas jalanNya yang lurus, iaitu Islam, agama tauhid nabi Ibrahim al hanif alaihissalam, iaitu datuk kepada ketiga - tiga umat tersebut, maka tiadalah umat Islam memiliki hujjah mutlak untuk memilikinya.

Mencintai Palestin adalah tanda iman dan taqwa. Kita mesti mencintainya melebihi kecintaan kita kepada tanah air sendiri.

Roda zaman yang berpusing menentukan bahawa bangsa Yahudi telah berjaya merampas dan mendudukinya kini selepas perjuangan lama mereka untuk menguasainya semenjak ribuan tahun dahulu. Selepas mereka menguasainya, impian dan angan - angan mereka begitu memuncak bahawa merekalah anak - anak tuhan yang diberkati segala tindakan mereka.

Hanyalah yang menghantui keyakinan mereka adalah pengetahuan tersembunyi mereka bahawa Palestin ini sebenarnya dan kesudahannya adalah milik umat yang menjadi musuh nombor satu mereka. Mereka tahu Palestin adalah untuk umat Islam.

Hari ini, saat kita dan seluruh umat Islam cuba membina keyakinan dan azam baru di awal tahun baru hijrah, Palestin dibedil dan dibakar oleh Yahudi, musuh Allah, malaikat, manusia dan seluruh makhluk kecuali syaitan daripada kalangan jin dan manusia.

Negara Israel hari ini yang menghimpunkan bangsa Yahudi sedunia itu tahu bahawa mereka tidak boleh hidup dengan hidupnya Islam. Justeru harapan, azam, keyakinan dan masa depan umatnya harus sentiasa dilumpuhkan dan dipadamkan dengan apa jua senjata dan peralatan. Umat Islam mesti kekal putus asa, putus harapan dan putus hubungan dengan tuhannya.

Membunuh umat Islam adalah ibadah dan persembahan mereka kepada tuhan mereka yang mereka ciptakan sendiri.

Palestin ceritanya panjang dan akan terus memanjang sehingga kiamat. Bermula keamanan dunia adalah dengan amannya Palestin dan bermula kecelakaan dunia adalah dengan celakanya keadaan di bumi Palestin. Begitulah Allah menetapkan sunnahNya bahawa Palestin adalah ujian kehidupan manusiawi.

Anda mesti tahu dan mesti akur bahawa lecehnya pengetahuan anda tentang Palestin adalah petanda lecehnya anda di sisi perjuangan Islam.

Jangan harapkan negara - negara Arab untuk mengembalikan Palestin. Sehingga semalam pun, mereka tidak mampu menyapu dan membersihkan diri daripada tohmahan bahawa mereka adalah sebahagian konspirasi pengeboman di Genting Gaza. Mereka membisu seperti bisu anak dara yang melakukan zina. Negara Arab yang berzina dengan Israel! Ah, sejak bila mereka menerima kehadiran HAMAS? Apatah mengiktiraf mereka sebagai rakan hidup dan mati? Sedangkan mereka tahu bahawa HAMASlah nyawa dan nadi umat Islam Palestin hari ini.

Anda hanya perlu meneka, siapakah yang lebih takutkan HAMAS? Israel atau Arab nasionalis syirik itu sendiri?

Jangan pula mengharapkan negara kita. Negara kita tidak akan menyokong HAMAS sebab HAMAS adalah saudara PAS. Mengharap pemerintah negara bertindak untuk Islam di Palestin adalah seperti mengharapkan perempuan mandul melahirkan anak atau seperti mengharap lelaki yang telah dikasi untuk mensyahwati perempuan.

Dalam dunia yang penuh nifaq dan kekufuran, harapan adalah terletak di atas bahu sekelompok umat Islam yang berjuang untuk kembali kepada Islam yang sebenar. Harapan dan keyakinan masa depan adalah daripada umat yang bersedia menghidupkan kewajiban berjihad fi sabiliLlah.

Setiap kita mestilah mengambil bahagian melaksanakan kewajiban membebaskan bumi suci Palestin.

Jika 10,000 umat Islam di Malaysia menyimpan RM100.00 setahun untuk perjuangan membebaskan al Masjidil Aqsa daripada cengkaman zionis Yahudi, maka wakil pejuang Islam Palestin yang datang ke negara kita akan pulang ke medan jihad dengan RM1 juta dari rakannya di Malaysia.

RM1 juta itu banyak tetapi ia adalah terlalu kerdil di hadapan bilionan dolar yang dibelanjakan oleh Yahudi dan sekutu Amerikanya untuk menjajah tanah suci itu. RM1 juta itu banyak, tetapi ia adalah sedikit di banding 15 juta umat Islam di negara kita. Atas nama kewajiban ugama, umat Islam di Malaysia semestinya mengeluarkan puluhan juta ringgit untuk perjuangan suci ini.

Sekali lagi, usah mengharap dan berangan wang saku kerajaan nasionalis Melayu akan tumpah walau setitik ke Palestin. Jika ia menitik, ia akan jatuh ke anak mata buat mengaburi pandangan mata. Pemimpin nasionalis Melayu ini pula, bila masa mereka cukup duit? Mata mereka tidak melihat kecuali duit.

Allah tidak menerima RM100.00 yang kita keluarkan itu. Allah menerima taqwa di dada kita. Taqwa kitalah yang akan menggapai Tuhan dan ridhaNya. Ertinya, bukanlah RM1 juta yang perlu kita kumpulkan daripada 10,000 umat Islam di Malaysia, bahkan kita memerlukan sejumlah hambaNya yang bertaqwa yang berjuang di atas jalanNya yang benar. Apabila ada taqwa, adalah wang yang dikeluarkan atas nama kewajiban dan jihad.

100 orang kaya di negara kita yang bertaqwa sudah cukup untuk menghantar RM1 juta atau lebih ke Palestin. 1000 umat Islam daripada masyarakat bandar pertengahan yang bertaqwa sudah cukup untuk menghasilkan RM1 juta untuk Palestin.

Jika setiap kita bertekad untuk menggabungkan diri dalam 10,000 umat Islam negara yang tidur bangunnya adalah untuk Palestin dengan berazam menjadikan perjuangan membebaskan bumi suci itu sebagai sebahagian amal jihadnya di hadapan Allah di padang mahsyar kelak, pastinya kita mampu saja menghantar RM10 juta setiap tahun ke sana.

Ia adalah jumlah yang sedikit. Tetapi bayangkan betapa gembiranya rakyat Palestin, terutama para pejuangnya apabila mendengar jumlah wang sebanyak itu datang daripada saudara mereka di Malaysia yang menyokong perjuangan mereka. Bayangkan betapa roh jihad mereka akan semakin panas dan membara buat membakar Yahudi laknatuLlah itu.

Saya membubuh angka agar anda tahu bahawa Allah mengurniakan pahalanya dengan angka dan juga berat. Dua rakaat masing - masing di Masjid Nabawy, di Masjidil Haram dan di Masjidil Aqsa adalah bersamaan lebih ratusan ribu rakaat berbanding dua rakaat dan sujud anda di masjid Putra Jaya atau di balaisah di hadapan rumah anda.

Bukan negara - negara umat Islam yang hidup penuh dayus dan nifaq hari ini yang akan membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan. Mereka adalah bagai buih - buih yang dilambung ombak tanpa perlu dihirau hitung berapa beratnya.

SUMBER: http://nikabduh.wordpress.com/

SALAM TAHUN BARU...

Salam tahun baru kepada semua sahabat-sahabiah... Alhamdulillah, Allah masih memberi kita ruang dan peluang untuk menambah amalan kita sementara pengembaraan kita belum tamat di dunia ini...

Bermulanya azam baru juga sinonim dengan bermula juga azam baru. Azam lama macam mana pula kalau belum tercapai? Di sini kita boleh renungi semula, adakah salah diri sendiri menyebabkan azam itu tidak tercapai?

Sama-sama kita renung dan muhasabah diri masing-masing, mungkin selama ini kita leka dengan nikmat yang Allah telah beri sehingga kita lari dari matlamat hidup sebagai hambaNYA.Fitrah manusia yang cepat lupa dan lalai, kerana itu kita harus muhasabah diri sentiasa untuk menilai kembali segala yang kita lakukan adakah jauh dari syariatNYA.