Friday, November 28, 2008

CUTI!!!

Bila buka blog sahabat yang lain, kebanyakan dah post tentang cuti...

SELAMAT BERCUTI... CUTI UNTUK ISLAM... MANFAATKAN CUTI SEBAIKNYA...

Antara pesanan daripada sahabat-sahabat, syukran atas semua harapan dan nasihat... InsyaALLAH kita semua diberikan hidayah dan kekuatan untuk terus bergerak untuk agama tercinta semasa cuti ni... Walaupun cuti kali ni pendek, tapi itu bukan ukurannya... Ada lagi sahabat yang tak dapat balik kampung untuk cuti ni, oleh itu ana bersyukur masih berkesempatan untuk balik cuti kali nie...

Fieldwork seminggu yang baru habis banyak menambah ilmu mengenai Geologi di dada... Walaupun penat itu terasa, lagi-lagi balik kena siapkan report baru dapat balik... Tapi itu semua berbaloi, sudak terbayar untuk kepenatan bila dapat lihat ciptaan ALLAH dan pemandangan di negeri sendiri...

Tiba masanya untuk ucapan... hehehe

SaHabat2 SeKAlian...
SeLaMat BerCuti, Cuti UNtuK KuliAh di KamPus SaHAja k... TapI KerJA2 Yang TeLaH diaMaNahKAn JanGAn lupA UnTuk DiSeLesaIKan... TopUP IlMu Di DadA...


Pesanan Untuk Diri Yang Lemah Ini Jua...

Thursday, November 27, 2008

Ku Rindu...



Wahai diri...
Ku rindu akan diriku yang dahulu

Yang kurang bicaranya

Yang kurang marahnya
Yang kurang tawanya
Yang kurang jenakanya


Wahai diri...
Ku rindu akan diriku yang dahulu
Yang banyak sabarnya
Yang banyak diamnya

Wahai diri...

Ku ingin berubah
Bukan menjadi yang dahulu

Bukan juga yang sekarang
Ku ingin lakukan anjakan

Wahai diri...
Kuatkan azam, tingkatkan usaha
Ada ALLAH yang sentiasa bersamamu


Wahai sahabat...
Bantulah aku, tegurlah aku

Aku ingin berubah
Menjadi hamba yang solehah

Amin...

Tuesday, November 18, 2008

BILA SEPASANG MATA MENJADI HADIAH...


Ingatkah dikau di mana dalam sejarah
Sepasang mata menjadi hadiah
"Kenapa engkau mengikutku?"
"Aku tertarik dengan kecantikanmu"
Jawapan yang cukup angkuh
Namun mengundang 1000 sesalan
Bila bungkusan merah diterima

Muslimat...
Contohilah wanita itu,
Bukan dengan mencungkil matamu
Tapi dengan menjaga peribadimu

Wahai muslimat...
Aku sering tertanya
Bagaimana engkau masih sanggup
Memaniskan muka menghadiahkan senyuman
Meramahkan bicara kepada lelaki yang bukan muhrim

Apakah engkau ini berani, menguji jiwa lelaki
Yang sememangnya diciptakan Allah
Tertarik dengan keindahan wanita
Walaupun sekadar muka yang manis

Apatah lagi lelaki itu. yang engkau tahu cukup ego
menganggap wanita sebagai hidangan
Yang boleh dibelek-belek dan dipilih-pilih

Benar...
Wanita itu telah menemui ajalnya
Namun diiringi keradhaan Allah
Dan keinsafan seorang lelaki
Yang akhirnya menjadi sufi

Muslimat...
Begitulah jalanmu
Begitulah perjuanganmu
Tundukkanlah pandanganmu
Keraskanlah suaramu
Seriuskanlah ketegasanmu
Bila engkau di hadapan atau di belakang
Atau di kiri atau di kanan lelaki

Walau atas apa alasan sekalipun
Ketuk keegoan mereka
Bangunkanlah mereka dari mimpi
Jelaskanlah dengan amalmu
Bahawa percampuran bukan caranya
Bahawa keseronokan adalah palsu
Bahawa di sini tiada kebahagiaan
Hanya kebenaran...

Muslimat...
Inilah jalanmu, lalu mungkin
Engkau akan melihat, di kalangan remaja ini
Akan lahir Rijaluddin
berjiwa pejuang
Sebagaiman lahirnya
Sebagaimana bangkitnya
Da'ie bernama HASSAN AL-BASRI
-BILA SEPASANG MATA MENJADI HADIAH-

Perkongsian ilmu...


Pernah ku ditanyakan soalan yang membuatku berfikir, bukan kerana ragu-ragu tetapi mencari jawapan bagi soalan tersebut. "Mengapa dikatakan Islam itu lengkap sedangkan penganutnya sendiri tidak mengamalkan Islam sepenuhnya?"

Aku terdiam dan berfikir, "Apa yang perlu ku jawab?". Sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik untuk memberikan jawapan yang tepat. Ku kuatkan semangat, ku katakan "Cuba kita fikirkan, peraturan yang telah diaturkan di sekolah adalah yang terbaik melahirkan pelajar yang berdisiplin dan bermotivasi, tapi kenapa masih wujud pelajar yang berani memukul guru yang telah mencurahkan ilmu kepada mereka? Adakah salah peraturan yang tidak sempurna atau orang yang melaksanakan peraturan itu atau pelakunya sendiri?"

Kenapa disalahkan agama sedangkan pelakunya tidak pernah amalkan bahkan mencari kebenaran itu sendiri. Sedangkan untuk mengisi perut sendiri perlukan usaha untuk menyuap makanan ke dalam mulut. Walaupun kita memandang ringan akan perlakuan menyuap itu, tetapi tanpanya dapatkah makanan bergerak dan masuk ke dalam mulut kita sendiri? Kadang kita memandang ringan akan sesuatu yang mudah tetapi kita tidak lihat disebalik kepentingan yang mudah itu.

Melihat kepada konteks apa perlunya kita beragama? Kerana dengan agama lah kita tahu akan tujuan dan matlamat hidup kita. Tanpa tujuan dan matlamat, pincanglah segala yang kita ingin laksanakan. firman Allah:

"Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadat kepadaKU"
(Az-zariyat: 56)

Melalui firman ini sahaja kita dapat lihat bahawa, jika manusia tidak tahu akan tujuan hidupnya, maka agama akan menjadi sia-sia dan tidak bermakna bagi mereka. Jadi mengapa disalahkan agama sedangkan pelakunya sendiri tidak tahu akan tujuan hidupnya?

Islam itu terlalu lengkap jika kita dapat menilai melalui mata hati kita. Sedangkan dari sekecil-kecil perkara Islam telah menunjukkan cara untuk kita sebagai penganutnya untuk laksanakan. Seperti sebelum masuk tandas pun, Islam telah menunjukkan cara untuk melakukannya. Sebab itulah dikatakan Islam itu satu cara hidup, dan kita sebagai seorang muslim hendaklah mengambil Islam itu secara keseluruhannya, bukan ambil separuh-separuh. Firman Allah:

"Wahai orang-orang yang beriman! masuklah ke dalam Islam secara
keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan.
Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu."
(Al-baqarah: 208)

Wallahu a'lam...

Sunday, November 16, 2008

Ikhlas Dariku...


Aku bukan seperti engkau sangkakan
Pura-pura di dalam berjuang
Aku tidak pandai menyulam rahsia
Juga tak pandai kubermadah pujangga

Jika ada benci di hati
Oh katakanlah padaku
Relaku terima walau kutukan
Asalkan aqidah terjaga

Kerana tidak sanggup lagi
Mempermainkan dustur Ilahi
Hakikat hati tak terluka
Walau zahirnya ada yang ketawa

Tuhan kumohon keampunan
Ketelanjuran yang berulang kali
Teman kita paterikan di sini
Berakhir sebuah lamunan duniawi
Terima syukur taufiq Ilahi

-Akhil Hayy-

Tuesday, November 11, 2008

Apakah Benar Engkau Pejuang???


Engkau ingin berjuang
Tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang
Tapi rosak oleh pejuang

Engkau ingin berjuang
Tapi tidak sepenuhhnya menerima pimpinan
Engkau ingin berjuang
Tapi tidak begitu setia kawan
Engkau ingin berjuang
Tapi tidak sanggup berkorban

Engkau ingin berjuang
Tapi ingin jadi pimpinan

Engkau ingin berjuang

Menjadi pengikut agak segan

Engkau ingin berjuang
Tolakan nafsu tidak engkau amalkan
Engkau ingin berjuang
Tapi tidak sanggup menerima cabaran
Engkau ingin berjuang

Kesihatan dan kerehatan tidak sanggup engkau korbankan

Engkau ingin berjuang

Masa tidak sanggup engkau luangkan
Engkau ingin berjuang
Kerenah isteri (study) tidak engkau tahan
Engkau ingin berjuang
Rumahtangga (akademik) lintang pukang
Engkau ingin berjuang
Diri engkau tidak engkau tingkatkan
Engkau ingin berjuang
Disiplin diri engkau abaikan
Engkau ingin berjuang

Janji engkau kurang tunaikan
Engkau ingin berjuang
Kasih sayang engkau curahkan

Engkau ingin berjuang

Tetamu engkau abaikan
Engkau ingin berjuang
Anak isteri (ahli keluarga) engkau lupakan
Engkau ingin berjuang
Ilmu berjuang engkau tinggalkan
Engkau ingin berjuang
Kekasaran dan kekerasan engkau amalkan

Engkau ingin berjuang
Pandangan engkau tidak diselaraskan

Engkau ingin berjuang
Rasa bertuhan engkau abaikan
Engkau ingin berjuang

Ibu dan bapa engkau abaikan...

Friday, November 7, 2008

CERITA DULU2 BYK PENGAJARAN...

Artikel ni diamek darpd blog nurilhakim.blogspot.com. tapi dah mnt izin ya...

Dan dipetik daripada ceramah Ustaz Hafizullah yang sememangnya ‘hot’ dan menjadi pilihan untuk ceramah-ceramah motivasi sekolah-sekolah sekitar KK sedang menyampaikan tazkirah maghrib
. Seperti biasa ceramahnya diselitkan dengan kisah-kisah dan jenaka yang menggamit perhatian pelajar yang kadangkala terleka;

Pada zaman dahulu ada seorang raja. Di negara jajahan takluk raja tersebut terdapat sebatang sungai yang dipenuhi buaya. Suatu hari, raja mengadakan pertandingan. Siapa yang dapat berenang merentas sungai tersebut akan mendapat salah satu daripada hadiah berikut – Pertama, mendapat wang sebanyak 1 juta ringgit. Yang kedua, dapat berkahwin dengan puteri bongsu baginda, atau yang ketiga, dapat memerintah keseluruhan negara tersebut.

Seluruh rakyat pun berkumpul, tetapi tidak ada seorang pun yang berani berenang di dalam sungai tersebut, lebih-lebih lagi setelah raja tersebut melakukan ‘demo’ dengan meletakkan seekor ayam ke dalam sungai tersebut, dan tidak sampai beberapa saat, hanya bulu-bulu yang berterbangan, sedangkan ayam habis dibaham buaya-buaya yang ganas. Tunggu punya tunggu, tiba-tiba dengan tidak semena-mena air berkocak kuat dan seorang lelaki dilihat berenang dengan laju ke seberang sana sungai sambil buaya-buaya mengejar beliau tanpa berhasil. Sampai ke tebing, raja menemui lelaki tersebut yang sedang tercungap-cungap. “Tahniah, tahniah,” kata raja. “Beta kagum dengan keberanian kamu. Apa hadiah yang kau mahukan dari beta? Hadiah wang 1 juta?” “Ti..ti..tidak”, lelaki tersebut menjawab dalam keadaan masih tercungap-cungap. “ Jadi kau mahu puteri beta?” “Tidak..Ti..Tidak,” jawab lelaki itu lagi. Raja mula kehairanan. “Jadi kau mahu memerintah Negara beta la ni?” “Tidak!” Lelaki tersebut menjawab dengan lebih tegas. Beta dan menteri-menteri berpandangan sesama sendiri sambil menggelengkan kepala. “Jadi apa yang kau mahukan?” raja bertanya sedikit marah. “Aku cuma mahu tahu, siapa yang menolak aku ke dalam sungai!” lelaki tersebut menjawab!

Ketawa pelajar berderai. “Begitulah kita,” Ustaz Hafizullah menyimpulkan “kadang-kadang perlu ditolak baru hendak mengejar kejayaan.” Pelajar tiba-tiba senyap. Tersentap agaknya. Tetapi tidak lama kemudian keadaan mula riuh semula. Ustaz mengambil peluang membuka kisah lain;

Di sebuah kampung tinggal seorang pemburu yang miskin bersama isterinya. Harta yang dimiliki pemburu tersebut hanyalah sebilah kapak kayu yang buruk. Suatu hari, pemburu tersebut berjalan-jalan di tepi sungai dengan membawa kapak usangnya. Tiba-tiba, kapak tersebut terlepas daripada genggamannya dan kecebur, jatuh ke dalam sungai. Pemburu tua tersebut menangis meratap kehilangan kapak sumber rezkinya. Tiba-tiba, muncul seorang bidadari dari dalam sungai tersebut dan menanyakan perihal pakcik tersebut. Setelah mendengar apa yang berlaku, bidadari tersebut menyelam ke dalam air dan tidak lama kemudian muncul semula dengan sebilah kapak yang diperbuat daripada emas. “Inikah kapak pakcik?” Bidadari bertanya. “Bukan!” jawab pakcik tersebut tanpa berlengah. Bidadari menyelam semula dan muncul pula dengan kapak yang diperbuat daripada perak. “Ini?” tanyanya semula. “Pun bukan!” pemburu menjawab. Kali ketiga, bidadari muncul dengan kapak buruk dan using. “Jadi ini kapak kamu?” “Ya!”ujar pemburu gembira. Bidadari tersenyum. “Disebabkan kamu jujur, saya hadiahkan kamu ketiga-tiga kapak ini,”kata bidadari. Pemburu pun pulang dengan gembira.

Tidak lama selepas peristiwa itu, pemburu berjalan lagi di tepi sungai. Kali ini dia ditemani oleh isterinya yang sudah tua dan nyanyuk. Tiba-tiba, isteri pemburu tergelincir dan jatuh ke dalam sungai! Sekali lagi pemburu menangis dan meratap kehilangan isteri sehidup sematinya, sampailah bidadari tempohari muncul semula. Setelah menceritakan apa yang berlaku, bidadari menyelam dan muncul tidak lama kemudian dengan memimpin seorang wanita secantik Fasha Sanda. Belum sempat bertanya, pemburu telah menjerit, “Ya, inilah isteri saya!!” Wajah bidadari mencuka. “O, pasal kapak boleh jujur, pasal perempuan menipu pula!”

Ustaz berhenti seketika sebelum membuat kesimpulan tergantung “Beginilah orang Islam, harta boleh dikorbankan dan jujur untuk agama tanpa berfikir panjang, tetapi bab wanita dan cinta, macam-macam helah dan alasan,” sebelum menyambung semula “tapi jangan sangka buruk dengan pakcik tua ni, dengar dulu sampai habis.”

Apa jawapan pakcik tua ni kepada bidadari? Katanya, “Jangan kau marah wahai bidadari yang mulia. Biar aku menjelaskan. Kan ke bertanya tu kunci husnuzzon? Begini, aku takut kalau aku katakan tidak pada wanita yang secantik Fasha Sanda ini, kau akan muncul dengan wanita secantik Erra Fazira pula. Kemudian sekali lagi aku akan berkata tidak dan kau akan menyelam semula dengan menyelamatkan isteriku yang sebenar. Ketika itu baru aku akan berkata ya, ini isteriku, akan tetapi aku takut engkau akan menghadiahkan kepadaku Fasha Sanda dan Erra sekali untuk dibawa pulang atas sebab kejujuranku. Sesungguhnya aku telah tua dan tidak mampu lagi menjaga mereka. Jadi, aku katakana ya awal tadi supaya kau marah dan hanya memulangkan kepadaku isteri tua nyanyukku, kekasih awal dan akhirku,” pemburu menjelaskan dengan panjang lebar dan sebak.

“Begitulah kisah pemburu tua, jadi apa pengajaran kedua yang kita dapat? Jangan cepat menuduh, jangan berprasangka!” Ustaz Hafizullah menyudahi cerita, diiringi riuh-rendah pelajar menyalahkan sesama mereka kerana telah berburuk-sangka dengan pakcik tua...

Thursday, November 6, 2008

SEARCHING FOR THE TRUTH...


Blog 'renung2fikir2.blogspot.com' dicetuskan oleh Saudara Fairuz Bend, mantan EKSAH MPP sesi 06/07, bertujuan membongkar kebenaran tentang agama Islam, di samping mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul dalam mana-mana agama, khususnya agama Islam dan agama Kristian. Dengan pendekatan 'perbandingan agama', perbincangan yang berlaku adalah dalam suasana sangat baik dan toleran dalam suasana penuh kasih-sayang dan menghormati antara satu sama lain. Jika anda mempunyai persoalan tentang mana-mana agama yang dicetuskan oleh sikap ingin tahu dan mencari kebenaran, kunjungilah laman blog ini. Jika tujuan anda untuk meniupkan api permusuhan dan kebencian, di situ bukan tempatnya. Jadilah pengunjung 'renung2fikir2.blogspot.com', samada sebagai pemerhati, pengkaji atau penjawab soalan, dengan syarat, anda betul-betul memahami apa yang dibicarakan. Jangan membawa fitnah kepada agama sendiri pula..

Dipetik drpd:nurilhakim.blogspot.com

Wednesday, November 5, 2008

SEKADAR PERINGATAN...


Semester 1 sesi 2008/2009 bakal berlalu melabuhkan tirainya dalam dua minggu lagi. tanpa disedari, masa begitu pantas berlalu. Bagi yang telah mencapai matlamat sem ini, tahniah. Dan bagi yang masih berada di takuk lama, lakukan anjakan pada diri anda. Sampai bila diri akan terus jauh dan hanyut dengan kehidupan dunia yang bakal kita tinggalkan ini. Gunakan masa dengan sebaiknya, kalau kita tidak mengejar masa, masa akan mengejar kita. Oleh itu, Allah telah berfirman:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan orang-orang
yang beriman dan beramal soleh, dan yang berpesan-pesan kepada kebenaran dan
berpesan-pesan kepada kesabaran." (Al-asr-1-3)

Penggunaan masa yang sebaiknya adalah penting bagi kita semua, lebih-lebih lagi yang telah diamanahkan dengan tanggungjawab menjaga kebajikan mahasiswa yang lain.

Daripada Hasan al-Basri meriwayatkan:
"Antara tanda berpalingnya Allah daripada menolong hambaNYA ialah bahawa
DIA menjadikan kesibukan dalam perkara yang tidak berfaedah baginya."

Ingatlah bahawa salah satu perkara yang akan ditanya di akhirat nanti adalah masa mudamu. Apakah engkau telah lakukan dengan masa mudamu? Adakah engkau bersedia dengan jawapan yang indah di hadapanNYA kelak?

Ingatlah wahai sahabatku, masa muda hanya sekali maka pergunakan dengan sebaiknya. Gunakan tenaga yang masih dikurniakan olehNYA ke jalan yang diredhaiNYA. Masa muda adalah nikmat daripadaNYA. Menggunakan nikmat untuk menuju radhaNYA adalah salah satu cara untuk bersyukur.

Sunday, November 2, 2008

DOAKU... UNTUKMU...


YA ALLAH, YA RAHMAN, YA RAHIM...
" Lancarkanlah mata pena kami semasa menjawab exam... Kembalikanlah kepada kami apa yang telah kami pelajari... Ilhamkanlah kepada kami apa yang kami tidak ketahui...
Hanya Engkau yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana... Hanya kepadaMU kami bertawakkal..."

YA ALLAH, YA RAHMAN, YA RAHIM...
"Berikanlah kejayaan kepada kami, kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat... Hanya kepadamu kami berserah"

Kepada semua sahabat seperjuangan...
SELAMAT MENJAWAB SOALAN EXAM DENGAN SEBAIKNYA...
(",)

Wednesday, October 22, 2008

MARI MENGUNDI...

Marilah-mari...
pergi menggundi...
tunaikan kewajipan pada negara (kampus)...

Lagu yg didendangkan amat menaikkan semagt... Pada pukul 8.00 mlm, pelajar mula memenuhi kawasan pengenalan calon (gelanggang futsal) di KKIP (kolej kediamanku)...
Nampak meriah, Alhamdulillah... ada sambutan daripada pelajar...
Walaupun ada yang baru balik dari kelas, tapi terus juga bergerak ke gelanggangg futsal... Ini menunjukkan semangat untuk mengundi bakal pemimpin mereka...

Barisan JAKMAS pula sibuk mengambil kedatangn pelajar, salah satu cara untuk tarik pelajar d ip yg terkenal dgn kurangnya keterlibatan dgn program... (betul ke ayat tu??? apa2la...)
5 minit kemudian, kedengarn bunyi hon-hon motosikal yang menunjukkan seseorg yg amat penting tiba... Barisan calon MPP dah sampai ke??? He3... Mantap2 barisan calon ni...
Siap pakai hon lagi... mcm PM plak... tpi 'bakal'... InsyaALLAH...

Ramai juga penyokong dari kampung datang, siapa punya penyokong ni ya???
Wah... dari jauh pun leh tgk... Mestilah calon pilihan kalbu.. He3... kak Hafiza Syafika Mohd Fekeri... Calon no11, undi, jagn x undi... Jika anda btul inginkan perubahan dan ingin menjadikan universiti ini sbg tempat gologan intelek, dan universiti berkebajikan... Maka... Kesimpulannya... undilah calon no11... =)




Kesimpulannya... Turunlah mengundi pada hari Khamis di Dewan Canselor bermula pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang... Jalankan tanggungjawab anda sebagai pelajar yang inginkan kemajuan & perubahan... Jangan jadi orang yang hanya tahu membangkang di belakang tapi tidak ada usaha untuk sama-sama lakukan perubahan dan anjakan pada diri dan perseekitarann anda... INGAT!!! Undi andalah yang menentukan jatuh bangunnya kebajikan mahasiswa di UMS...

Oleh itu... SELAMAT MENGUNDI... =)

Saturday, October 18, 2008

PRK!!!


Salam mujahid kepada semua mujahid dan mujahidah yang bakal berjuang untuk Pilihan Raya Kampus yang bakal menjelang...

Tuesday, October 14, 2008

MINUMAN RINGAN MENGANDUNGI ARAK...

Saya membaca dengan penuh prihatin kenyataan Pengerusi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Sdr SM Mohamed Idris, yang disiarkan dalam ruangan “Letters to the Editor” dalam NST hari ini berkenaan penjualan minuman ringan yang mengandungi alkohol. Ini bukan kali pertama menurut beliau CAP membangkitkan perkara ini kerana sejak Ogos 1997 lagi ianya pernah ditonjolkan apabila minuman ringan seumpama itu di bawah jenama Alcopops mula memasuki pasaran tempatan.

Menurut Sdr Idris kini minuman seumpama ini dengan mudah boleh didapati di pasaran tempatan. Tambah beliau ianya dipasarkan seolah-olah bagai minuman berkhasiat dengan kandungan vitamin C dan seumpamanya sedangkan terdapat diantaranya yang mempunyai kandungan alkohol setinggi 5.5 peratus iaitu kandungan alkohol yang lebih tinggi dari minuman bir.



Beliau melahirkan kebimbangan yang minuman ini mungkin digunakan oleh anak-anak kita, tambah-tamabah ia sebenarnya adalah minuman haram kerana kandungan alkoholnya.

Justeru itu apakah tindakan kita?

Satu hakikat yang tidak kita nafikan bahawa arak atau minuman yang mengandungi alkohol ini boleh diminum oleh masyarakat bukan Islam. Sebagaimana di Kelantan, kerajaan negeri tidak menghalang, cuma mengawal premis-premis yang dibenarkan menghidang dan menjual minuman-minuman ini. Masalahnya adalah dikalangan masyarakat Islam, bagaimana caranya kita mengawal atau menguatkuasakan peraturan agar dalam keadaan kita tidak dapat mengharamkan secara ”total”, kita dapat mengindarkan produk-produk haram ini dari digunakan oleh umat Islam.

Di sinilah usaha semua pihak dari pihak berkuasa Persekutuan, negeri dan PBT perlu digembelingkan jika kita benar-benar prihatin dan serius menangani isu ini. Ia bukan mudah dan perlukan komitmen semua pihak.

Saya mengucapkan syabas kepada CAP yang tidak jemu-jemu menonjolkan isu ini. Semoga Allah swt berikan kita semua kekuatan untuk menangani masalah ini.

DIPETIK DARIPADA: http://n32.blogspot.com/

QUDWAH HASANAH


Seringkali kita terfikir,
Bagaimana mulia dan bersihnya hati nabi kita, tetap senyum bila dibenci, tetap tenang bila dimusuhi, tetap membantu bila disakiti, tetap menyeru walau diusir pergi...

Kenapa kita mudah benci bila dikasari, mudah putus asa bila yang dilakukan tidak menjadi, mudah kecewa bila orang lain tidak memahami, mudah terguris bila kita dinasihati...

Ayuh kita bangkitkan diri, agar segala yang indah menghiasi peribadi, kerana qudwah kita adalah nabi, kerana itulah sifat hamba Allah yang hakiki...

Wednesday, October 8, 2008

AYUH TERUSKAN...


Sebagai seorang insan yang sememangnya dilontarkan sifat bertuhan, kadang-kadang terlintas di fikiran. "Apakah kesudahan hidupku? Adakah baik ataupun sebaliknya? Adakah cukup amalku untuk ku persembahkan di hadapan Allah di akhirat kelak?" Bersyukurlah sekiranya ianya masih terdetik dalam fikiran kita dan lakukan pembaikan melaluinya. Itulah hidayah daripadaNYA, yang sentiasa menyayangi hamba-hambaNYA yang sentiasa ingin bertaubat.

Renungilah diri kita yang telah hidup puluhan tahun di dunia ini, apa yang telah kita sumbangkan untuk diri, masyarakat dan agama kita sendiri? Amanah khalifah yang telah Allah berikan kepada kita, adakah kita telah jalankan dengan sebaiknya?

Kehidupan seorang hamba yang sememangnya harus sentiasa patuh pada arahan tuannya. Begitulah kehidupan kita yang merupakan hamba kepada Allah, sememangnya ada masa kita lalai kerana itulah fitrah semua manusia. Sekiranya dikenang kembali 'gaji' yang telah Allah berikan kepada kita, sememangnya lebih daripada apa yang kita telah lakukan keranaNYA


Jadikanlah pemergian sahabat kita sebagai salah satu pengajaran dan muhasabah kepada kita untuk meneruskan perjuangan di bumi ums ini. Lakukan anjakan paradigma pada diri untuk meningkatkan ibadah yang bakal kita persembahkan di hadapanNYA kelak, kerana kita tidak tahu ajal kita bila akan datang...

Monday, October 6, 2008

KAU SAHABAT KAU TEMAN...


Kau Sahabat Kau Teman

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mngenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati

Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa

Ya Allah,tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami

Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatihah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
Ku sahabatku kau teman sejati



Siti Aisyah Binti Bakri...
Jika dikenang kembali, ana seakan tidak percaya seorang sahabat yang berjuang di bumi ums telah kembali menghadapNYA... Sememangnya ALLAH lebih menyayanginya...
Seakan baru semalam bersama-sama berprogram untuk menggerakkan hati-hati yang keras, untuk merubah sifat diri yang tercela dan untuk melalukan anjakan pada diri dan agama... Namun, semua itu hanya kenangan... Yang pergi tetap akan pergi, dan yang tinggal harus meneruskan perjuangan dan sentiasa mendoakan kesejahteraan sahabat kita di sana...


Firman Allah SWT,

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan."(Ali-Imran, 3:185)

Imam Al-Qurtubi menjelaskan "Ingat mati dapat menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat, melunakkan hati yang keras, menghapuskan kebanggaan terhadap dunia dan meringankan masalah." Semoga kita mengambil pengajaran daripada kiamat kecil yang telah dilalui oleh saudara-saudara kita yang telah kembali kepadaNYA. Hidup ini hanya sementara, amat sia-sialah sekiranya dipenuhi dengan perkara yang tidak bermanfaat.




Siti Aisyah Bakri dalam kenangan...






Friday, September 26, 2008

GEOLOGY FIELD....

Sudah menjadi kebiasaan kos ana akan buat field ke mana-mana di sekitar Sabah untuk mengkaji batuan dan singkapan di setiap kawasan. Bila pergi field memang banyak menambahkan lagi salah satu ilmu dunia yang masih kurang. Ana masih ingat salah seorang prof kami yang mengatakan, "Kalau orang Islam yang masuk geology masih tidak kagum dengan kebesaran Allah, memang teruk" itulah kata prof kami.

Bila dah masuk tahun 2 dan agak banyak yang ana pelajari, sememangnya benar apa yang dikatakan oleh prof tu. Kos geology banyak belajar mengenai bumi, tempat kita bertapak.. Bila terbentuk? Bagaimana terbentuk? Apa kandungan bumi? Proses-proses pembentukan bumi? Bagaimana keadaan bumi dari awal hingga sekarang....

Dan field baru-baru ni kami pergi ke Kudat, simpang Mengayau... Subhanallah... sungguh indah ciptaanNYA... Jika ada peluang, sahabat-sahabiah lawatlah ke tempat ni...


Peristiwa Subuh... Sayup-sayup kedengaran laungan azan tatkala hening pagi, laungan mengajak manusia untuk menunaikan solat itu sungguh merdu sekali. Namun, kemerduan suara itu seolah-olah mendodoikan aku yang sedang lena diulit mimpi. Aku sedar, aku dengar, aku tahu itu azan, laungan memanggilku menunaikan solat. Tapi, Dwi gabungan pakatan kejahatan, syaitan dan nafsu terlebih dahulu memekakkan telingaku, disumbatnya rongga telinga itu dengan bisikan-bisikan jijik, "Alangkah enaknya kalau kau teruskan tidurmu itu wahai manusia.. Tidurlah.. Kau penat bekerja disiang hari, berhempas pulas berusaha untuk mencari sesuap nasi.. Apa salahnya kau berehat sedikit?"

Biasa dengar alasan ini? Bukankah ini alasan kalian juga wahai saudaraku? Usah tipulah. Aku manusia. Kau juga manusia. Punyai kawan bernama syaitan.. Punyai hati bersalut nafsu. Tewas muslim itu pagi ini. Syaitan bukan setakat bertepuk tangan, bersorak, menari, berguling, ketawa meraikan kecemerlangan mereka. Usaha mereka membuahkan hasil. Muslim tadi kembali menarik kulit babi yang tadinya terselak sedikit. "Biarlah.. Aku penatlah hari ini.."

Disatu tempat yang lain, sayup-sayup kedengaran laungan azan tatkala hening pagi, laungan mengajak manusia untuk menunaikan solat itu sungguh merdu sekali. Kemerduan itu bagaikan hembusan yang amat kuat menerpa telingaku. Aku sedar, aku dengar, aku tahu itu azan, laungan memanggilku menunaikan solat. Lalu, aku bingkas bangkit. Digosok-gosok mata ini. Terkebil-kebil ke kiri. Terkebil-kebil ke kanan. Alhamdulillah. Syukur. Allah tiupkan roh ku kembali pada tubuhku. Lenguh rasanya badan ini. Sengal di sini. Sengal di sana. Penatnya seharian berkerja semalam masih tak hilang lagi. Pakatan tanpa senjata itu muncul lagi, Syaitan memulakan rutinnya seperti biasa. "Dah tahu penat tu tidur jelah. Rehatkan dirimu dulu wahai manusia. Badanmu lenguh, penatmu masih belum hilang lagi. Tidurlah dulu. Kemudian bangunlah semula." Arggghh! Nafsu tidurku membuas lagi. Mengantuknyaa. Biarlah. Aku impikan ganjaran 27 kali ganda itu. Aku impikan melalui titian sirat sepantas kilat. Telapak kaki ini mencecah ke lantai simen yang sejuk. Burrr. Dinginnya. Ahh. Pedulikan! Menujulah aku kerumah Allah yang satu.

Yang mana satu dikau wahai manusia? Pilihlah. Kita serupa. Punyai nafsu. Punyai kawan bernama syaitan. Tapi iman yang membezakan kita. Tinggi ke rendah?? Laratkah kita menjadi singa Allah yang mengaum sedangkan menghalang menguap pun tak mampu?? Sahabat2 seperjuangan, berapa byk nikmat Allah yg kita kecapi hari ini?? Demi Allah! Semuanya tidak terhitung! Apalah salahnya dkorbankan saat kelazatan tidur di kala subuh utk berjemaah?Ingat! Selangkah kita rapat padaNYA, seribu langkah Allah rapat pada kita. Allahu rabbi.


Petikan daripada: iluvislam.com

Thursday, September 25, 2008

PENUHI MASA MUDAMU...


At-Tirmizi dan Muslim meriwayatkan hadis daripada Amru bin Maimun RA bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW telah menyampaikan pengajarannya kepada seorang lelaki dengan sabda baginda:


"Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara ynag lain iaitu, masa muda engkau sebelum datangnya hari tua; masa sihat engkau sebelum datang masa engkau dilanda sakit; masa kaya engkau sebelum engkau jatuh papa; masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk; dan masa hidup engkau sebelum datangnya saat kematian"

Peringatan di atas jelas menunjukkan bahawa nikmat Allah kepada kita terlalu banyak, dan semuanya terpulang kepada kita bagaimana hendak menggunakannya. Salah satu cara untuk bersyukur adalah dengan menggunakan nikmat yang Allah bagi dengan sebaiknya. Peluang yang pertama Rasulullah katakan dalam hadis di atas ialah mengenai usia muda, usia di mana keadaan kita masih mempunyai kekuatan yang lebih, usia di mana nafsu kita meluap-luap untuk melakukan sesuatu, dan juga usia di mana dikatakan penuh dengan keseronokan.

Semua manusia akan melalui zaman mudanya sekali seumur hidup, oleh itu Rasulullah telah mengingatkan kita agar pergunakan zaman muda ini dengan sebaiknya. Masa muda tidak akan bertahan kerana usia akan menjangkau dewasa dan akhirnya tibalah masa tua. Bila tiba masa tua, segala-galanya tidak ada yang indah, kudrat tenaga sudah lemah, selera makan sudah menurun meskipun disajikan makanan yang serba lazat. Di masa tua juga sering dilanda sakit kerana keupayaan fizikal untuk melawan penyakit semakin lemah, keterbatasan pula mula melingkungi diri.


Masa muda yang diberikan percuma oleh Allah itu, akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak, kerana ia bukan sahaja suatu niknat, anugerah, tetapi juga amanah untuk kita yang bergelar manusia. Segenap masa muda yang dipenuhi dengan perkara yang selayaknya sebagai seorang mukmin, sama ada dalam bidang ilmu dan amal, pasti akan menjadikan masa tuanya penuh dengan kesyukuran. Jika tidak, Allah SWT telah mengingatkan hamba-NYA dengan firman-NYA.

"Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat serendah-rendahnya kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus."
( At-Tin: 4, 5, dan 6 )

Tuesday, September 16, 2008

SIAPAKAH SAHABAT SEBENARMU???


Pada zaman rasulullah... Ada dua orang sahabat baik yang bekerja sebagai pengembala kambing.. Pada suatu hari.. Sahabatnya yang pertama bertanya kepada sahabatnya yang kedua..

"Apakah benar engkau sahabatku yang sebenar benar sahabat??
maka sahabatnya yang kedua menjawab "Bukan kah kita telah bersama semenjak masih kecil...dan membesar bersama-sama? aku tidak pernah mengkhianati dirimu...apa lagi yang mampu aku jadikan bukti bahawa aku benar-benar sahabat mu??

Sahabat yang pertama tadi membentak "Sesungguhnya kamu lah manusia paling pendusta"
Sahabatnya kedua tadi kehairanan dan bertanya apakah kesalahannya sehingga sahabatnya itu melayannya seperti itu.

Sahabat pertama tadi menjawab."Pulanglah kau kerumah, carilah jawapannya, dan esok datanglah kau berjumpa aku."

Sehari-harian, sahabat kedua tadi mencari punca dia dimarahi oleh sahabatnya. Sedangkan sahabatnya itu tidak pernah berkelakuan seperti itu sebelum ini.. Keesokan harinya..Pergilah dia bertemu dengan sahabatnya itu.

"Wahai sahabat, puas sudah aku mencari jawapan untuk soalan mu...tapi tidak juga kutemui.." katanya sambil menangis."Katakanlah wahai sahabat..apa kesalahanku??
Sahabat yang pertama merenung wajah sahabat kedua.



"Pernahkah kau mengingatkann aku supaya mengucapkan dua kalimah syahadah, atau berselawat keatas junjungan ketika kita berehat dari lelah bekerja dan bersembang kosong??" sahabatnya menggeleng

"Pernahkah kau mengingatkan aku supaya segera solat dan kebaikan segera bersolat setiap kali azan dikumandangkan??

Sahabatnya menggelengkan kepala pernahkah kau menasihatkan aku supaya berpuasa setiap hari pada bulan ramadhan??

Sahabatnya menggeleng lagi.
"Pernah juga kah kau mengingatkan aku mengenai tanggungjawab ku supaya berzakat??
sahabatnya menggeleng lagi seraya menangis. Namun sahabat pertama tadi meneruskan soalannya.

"Dan soalan ku yang terakhir...pernahkah kau mengajak aku menunaikan haji setiap kali kita dikurniakan lebihan rezeki?

Sahabat kedua mendiamkann diri sambil menengis teresak esak.
"Tidak pernah bukan??maka tidak layaklah engkau bergelar sahabat padaku.engkau tidak pernah membantu aku melarikan diri dari neraka jahanam. pergilah kau...mulai hari ini kita bukan lagi sahabat.



Melalui kisah di atas, sama-samalah kita renungi kembali diri kita. Adakah kita layak digelar sebagai seorang sahabat walaupun mempunyai akidah yang sama?walaupun kita sentiasa bersama-sama? walaupun kita katakan kita faham segala sikap dan tingkah laku sahabat kita?





Oleh itu, saya menyeru diri saya dan semua sahabat-sahabat, jadilah sahabat yang dapat membimbing sahabat kita ke jalan yang diredhaiNYA. Dan pilihlah sahabat yang dapat membawa kita ke syurgaNYA...

Thursday, September 11, 2008




TADARUS AL-QURAN PENGHIAS RAMADHAN

Islam menggalakkan umatnya untuk hidup bahagia di dunia dan akhirat. Oleh itu Allah telah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya dapat memimpin umatnya ke arah hidup yang sempurna.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 1-5:
“Alif Laam Mim. Demikianlah kitab al-Quran tidak ada ragu-ragu lagi di dalamnya, ia memberi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa (berbakti kepada Allah). Iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib (tidak dapat diketahui atau tidak dapat dilihat) dan mereka mendirikan sembahyang (solat) dan menafkahkan sebahagian rezeki yang kami kurniakan kepada mereka. Dan mereka beriman pada apa yang diturunkan kepada kamu (Injil, Zabur, Taurat) dan di akhirat nanti Allah akan meletakkan mereka di tempat yang sempurna. Mereka itulah yang menerima petunjuk dari Tuhan mereka, mereka itulah daripada golongan orang yang berjaya”.

Daripada ayat ini jelaslah bahawa membaca al-Quran dan beramal dengan isi kandungannya mempunyai banyak kelebihan dan dimuliakan di sisi Allah S.W.T. Kelebihan ini dilipat gandakan lagi apabila ianya diamalkan pada bulan yang penuh keberkatan iaitu bulan Ramadhan dengan bertadarus. Tadarus ialah membaca al-Quran secara berdua, bertiga atau berkumpulan, di mana caranya ialah seseorang membaca manakala yang lain mendengar sambil memperbetul kesilapan bacaan jika ada dan seterusnya dengan bergilir-gilir.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:“Sesiapa yang berharap untuk menemui Allah S.W.T, maka hendaklah memuliakan ahli Allah”, maka disoal lagi: “Wahai Rasulullah! Adakah Allah mempunyai ahli?” Jawab Rasulullah: “Ya”. Soal lagi: “Siapakah mereka itu?”Jawab Rasulullah: “Ahli Allah di dunia ialah mereka yang selalu tadarus dan membaca al-Quran, adakah tidak ada orang orang yang menerima kemuliaan itu dimuliakan oleh Allah dan dimasukkan ke syurga, sebaliknya mereka yang dihina, maka sesungguhnya Allah akan menghina lalu dimasukkan ke neraka. Wahai Abu Hurairah, tiadalah di sisi Allah seorang yang dimuliakan daripada orang yang bertadarus dan membaca al-Quran, tidak ada seorang itu membawa dan membaca di sisi Allah dimuliakan daripada salah seorang kamu kecuali para nabi”.


Oleh itu, sebaik-baik hamba itu ia membaca al-Quran serta mendalami, mengkaji dan menghayati segala kandungannya kemudian mengajarkannya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang membaca al-Quran dan mempelajari isi-isi kandungan ayat-ayat al-Quran itu (dan mengajarkannya kepada orang lain)”.


Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Iri hati (hasad) tidak dibenarkan melainkan 2 perkara sahaja iaitu seorang yang mana dihormati dengan bacaan al-Quran dan terus berada dalam keadaan yang demikian siang dan malam dan seorang lagi yang mana dilimpahkan kurnia dengan harta yang banyak oleh Allah S.W.T dan membelanjakan siang malam pada jalan Allah”.


Dalam hadis di atas, hasad yang dimaksudkan ialah sifat ingin berlumba yang diredhai Allah. Iaitu dengan berlumba-lumba membaca atau memperbanyakkan bacaan al-Quran siang dan malam. Serta membelanjakan harta yang dikurniakan Allah siang dan malam dijalan Allah.
Oleh itu, ditambah dengan keberkatan bulan Ramadhan ini, maka setiap umat Islam mestilah berlumba-lumba untuk menambahkan amalan masing-masing. Ini kerana hati yang tidak ada al-Quran seumpama rumah yang kosong.


Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w;
Daripada Abdullah bin Abbas r.a telah meriwayatkan, sabda Rasullullah s.a.w: “Seseorang yang tidak ada sebahagian pun al-Quran di dalam hatinya adalah seumpama rumah yang ditinggalkan (kosong)”.

Friday, September 5, 2008

Ramadhan......


Hampir seminggu Ramadhan telah kembali dan memberi ruang kepada kita untuk terus menambahkan amal dan ibadah kepadaNYA di bulan yang penuh barakah ini. Mungkin masih ada di kalangan kita yang tidak merasai kehadiran Ramadhan ini, melainkan berpuasa di siang hari. Tidak kurang juga ada di kalangan kita yang berasa bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meraikan Ramadhan pada tahun ini. InsyaALLAH kita termasuk dalam golongan orang yang sering menantikan bulan ini.


Sama-samalah kita meningkatkan amalan kita di bulan ini. Mungkin ini adalah Ramadhan terakhir buat kita. Janganlah diharapkan imbalan yang kita boleh lihat pada masa sekarang, fikirlah untuk kehidupan di masa akan datang. Itulah yang lebih berharga buat kita yang hanya bergelar sebagai musafir di dunia ini.




Sunday, August 31, 2008

Andai ini Ramadhan Terakhir

Wahai dikau...renunglah engkau akan nasib diri

Wahai qalbu...sedarkah engkau akan gerak hati

Wahai aqal...terfikirkah engkau akan apa yang bakal terjadi

Andai ini merupakan Ramadhan yang terakhir kali

Buatmu sekujur jasad yang bakal berlalu pergi

Tatkala usia bernoktah di penghujung kehidupan duniawi

Pabila tiba saat tepat seperti yang dijanji Ilahi

Kematian...adalah sesuatu yang pasti


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

Tentu siangnya engkau sibuk berzikir

Biarpun anak tekak kering kehausan air

Tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu

Mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

Tentu solatmu kau kerjakan di awal waktu

Solat yang dikerjai...sungguh khusyuk lagi tawadhu'

Tubuh, minda, dan qalbu...bersatu memperhamba diri

Mengadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji

"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"

[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...

kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekelian alam]


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

Tidak akan kau persiakan walau sesaat yang berlalu

Setiap masa tak akan dipersia begitu saja

Di setiap kesempatan juga masa yang terluang

Alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

Tentu malammu engkau sibukkan dengan pesta-pestaan

Berterawih...berqiamullail...bertahajjud...

Mengadu...merintih...meminta belas kasih

"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU

Tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"

Oleh itu duhai Ilahi...kasihanilah daku hamba-MU ini


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

Tentu dirimu tak akan melupai mereka yang tersayang

Ayuh ke mari kita meriahkan Ramadhan

Kita buru...kita cari...suatu malam idaman

Yang lebih berkat dari seribu bulan


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

Tentu engkau bakal bersedia batin dan zahir

Mempersiap diri...rohani dan jasmani

Menanti-nanti jemputan Izrail

Di kiri dan kanan ..lorong-lorong redha Ar-Rahman


Duhai Ilahi...

Andai ini Ramadhan terakhir buat kami

Jadikanlah ia Ramadhan paling bererti...paling berseri...

Menerangi kegelapan hati-hati kami

Menyuluhi diri ke jalan menuju redha serta kasihsayang mu Ya Ilahi

Semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti


Namun saudara...

Tak akan ada manusia yang bakal mengetahui

Samada Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali

Hanya yang termampu bagi seorang hamba itu

Berusaha...bersedia...meminta belas-NYA

Andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita

Thursday, August 28, 2008

TUBUH TIDAK BERSIMPATI PADA DIRI SENDIRI

Adalah menjadi lumrah sekiranya berlaku persengketaan atau perbalahan antara dua individu atau dua kumpulan individu kerana manusia tidak selamanya bersependapat atau sealiran fikiran. Akan tetapi agak sukar difahami sekiranya manusia terpaksa berkrisis atau berbalah dengan dirinya sendiri. Tidak mungkin sesuatu perbuatan dilakukan tanpa dipersetujui perasaan dan fikirannya. Jika sesuatu tindakan telah telah dipersetujui, tidak mungkin jasad akan dipersalahkan kerana melakukannya. Oleh itu, perbalahan dengan diri sendiri tentunya tidak akan terjadi.

Walau bagaimanapun, Allah SWT akan membuktikan bahawa saat manusia terpaksa berbalah dengan diri sendiri pasti tiba. Setiap anggota tubuh manusia akan saling mendedahkan rahsia diri yang selama ini tidak pernah didedahkan atau diketahui oleh sesiapapun. Firman Allah:

"Pada hari ini ( Hari Kiamat), Kami tutup mulut kamu; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan kaki mereka memberi kesaksian terhadap apa yang dilakukan oleh mereka dahulu" (Yaasiin:65)

Melalui ayat tersebut, tangan dan kaki manusia tidak akan bersekongkol dengan mulut untuk mempertahankan sesuatu pada hari kiamat kelak. Sebaliknya akan mendedahkan segala amal yang telah dilakukan, sama ada baik atau buruk.

"Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa-apa yang dikerjakan oleh mereka dahulu." (An-Nur: 24)

Selain kaki dan tangan, lidah juga akan memberi kesaksian pada hari akhirat kelak. Lidah adalah anggota yang dianggap lebih tajam daripada pedang kerana ia boleh menuturkan kata-kata keji dan fitnah, mengumpat, berdusta, dan sebagainya.

Semua anggota tersebut akan berperanan sebagai saksi kepada diri sendiri. sesungguhnya saksi amat pentiang dalam sesuatu perbicaraan. kesaksian saksi akan mensabitkan sesuatu pertuduhan.

"Dan mereka berkata kepada kulit mereka: " Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?" Kulit mereka menjawab: "Allah yang menjadikan sesuatu pandai berkata telah menjadikan kami pandai berkata, dan Dialah yang menciptakan kamu pada kali yang pertama dan hanya kepadaNYAlah kamu dikembalikan." (Fussilat: 21)

Satu lagi anggota tubuh yang akan menjadi saksi ialah kulit dan manusia akan menjadi hairan mengapa pula ia menjadi saksi? Akan tetapi kulit bakal menjelaskan bahawa Allah SWT yang menjadikannya boleh bertutur sebagaimana Dia mencipta mulut yang boleh bertutur.

Melihat daripada ayat-ayat yang Allah turunkan, ianya adalah sebagai pengajaran dan peringatan kepada manusia. Ianya menunjukkan bahawa adilnya Allah,hakim di akhirat kelak yang menjadikan anggota tubuh sendiri sebagai saksi. Anggota tubuh tidak akan khianat pada diri sendiri. Kejujuran anggota tubuh hanya akan memberi keuntungan kepada orang yang menjadi ahli kebajikan dan beramal soleh kerana anggota yang terbabit akan bercakap benar atas kebajikan yang dilakukan.

Sebaliknya, ahli kejahatan bukan sahaja tidak mendapat menfaat daripada anggota tubuhnya sendiri, malah kejujuran anggota tubuhnya itu akan membawa padah yang buruk kerana ia akan berkata perkara yang sebenarnya berlaku. Tidak timbul soal simpati atau khianat terhadap diri. Apa yang nyata, anggota akan bercakap benar walaupun terpaksa membongkar keburukan dan tembelang diri sendiri di hadapan Allah SWT.

Orang yang berasa malang terhadap pengakuan anggota tubuhnya sendiri hanyalah ahli maksiat yang banyak berbuat dosa. Justeru mereka menyumpah serta mengherdik tubuh mereka sendiri dengan berkata: "Pergi jahanam wahai anggota yang tidak mengenang budi. Aku bekerja keras memerah keringat untuk mendapatkan rezeki untuk memelihara anggota tubuh supaya menjadi segar, sihat dan tidak dihinggapi sebarang penyakit. Inikah balasanmu setelah segala kebaikan kulakukan untuk menjagamu?"

Sesungguhnya tiada yang boleh dimarahi kecuali dirinya sendiri...