Tuesday, November 18, 2008

Perkongsian ilmu...


Pernah ku ditanyakan soalan yang membuatku berfikir, bukan kerana ragu-ragu tetapi mencari jawapan bagi soalan tersebut. "Mengapa dikatakan Islam itu lengkap sedangkan penganutnya sendiri tidak mengamalkan Islam sepenuhnya?"

Aku terdiam dan berfikir, "Apa yang perlu ku jawab?". Sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik untuk memberikan jawapan yang tepat. Ku kuatkan semangat, ku katakan "Cuba kita fikirkan, peraturan yang telah diaturkan di sekolah adalah yang terbaik melahirkan pelajar yang berdisiplin dan bermotivasi, tapi kenapa masih wujud pelajar yang berani memukul guru yang telah mencurahkan ilmu kepada mereka? Adakah salah peraturan yang tidak sempurna atau orang yang melaksanakan peraturan itu atau pelakunya sendiri?"

Kenapa disalahkan agama sedangkan pelakunya tidak pernah amalkan bahkan mencari kebenaran itu sendiri. Sedangkan untuk mengisi perut sendiri perlukan usaha untuk menyuap makanan ke dalam mulut. Walaupun kita memandang ringan akan perlakuan menyuap itu, tetapi tanpanya dapatkah makanan bergerak dan masuk ke dalam mulut kita sendiri? Kadang kita memandang ringan akan sesuatu yang mudah tetapi kita tidak lihat disebalik kepentingan yang mudah itu.

Melihat kepada konteks apa perlunya kita beragama? Kerana dengan agama lah kita tahu akan tujuan dan matlamat hidup kita. Tanpa tujuan dan matlamat, pincanglah segala yang kita ingin laksanakan. firman Allah:

"Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadat kepadaKU"
(Az-zariyat: 56)

Melalui firman ini sahaja kita dapat lihat bahawa, jika manusia tidak tahu akan tujuan hidupnya, maka agama akan menjadi sia-sia dan tidak bermakna bagi mereka. Jadi mengapa disalahkan agama sedangkan pelakunya sendiri tidak tahu akan tujuan hidupnya?

Islam itu terlalu lengkap jika kita dapat menilai melalui mata hati kita. Sedangkan dari sekecil-kecil perkara Islam telah menunjukkan cara untuk kita sebagai penganutnya untuk laksanakan. Seperti sebelum masuk tandas pun, Islam telah menunjukkan cara untuk melakukannya. Sebab itulah dikatakan Islam itu satu cara hidup, dan kita sebagai seorang muslim hendaklah mengambil Islam itu secara keseluruhannya, bukan ambil separuh-separuh. Firman Allah:

"Wahai orang-orang yang beriman! masuklah ke dalam Islam secara
keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan.
Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu."
(Al-baqarah: 208)

Wallahu a'lam...