Thursday, February 26, 2009

TAUBAT...


Taubat atau taubah berasal daripada perkataan yang bermaksud kembali. Dalam istilah tasawuf, taubat adalah kembali kepada Allah dengan menghurai ikatan dosa yang terus-menerus dari hati kemudian melaksanakan setiap hak Tuhan. Definisi ini menunjukkan seseorang yang bertaubat mestilah menghuraikan ikatan dosa daripada dirinya ieitu meninggalkan dosa yang dilakukan secara total.Tidak cukup dengan itu, seseorang yang bertaubat mestilah konsisten atau istiqamah dalam taubatnya secara ikhlas dan melaksanakan segala tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Oleh itu, Imam Ghazali mengatakan makna taubat itu tersusun daripada tiga perkara iaitu ilmu, keadaan dan perbuatan. Ilmu yang bermakna pengetahuan seseorang tentang betapa besarnya dosa yang dilakukan yang menjadi dinding di antaranya dengan Khalik. Apabila dia mengetahui tentang ini, hatinya akan berasa sakit kerana kehilangan sesuatu yang dicintai(Allah). Seterusnya perasaan sakit ini akan menguasai hatinya menyebabkan dia mempunyai niat untuk melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan masa sekarang, masa lepas dan masa akan datang.


Perbuatan sekarang ialah meninggalkan dosa yang sedang dilakukan secara serta-merta dan berazam tidak akan mengulangi dosa itu kembali pada masa yang akan datang. Manakala perbuatan yang berkaitan masa lepas ialah dia akan melakukan kebaikan yang tidak dapat dilakukan sebelum ini atau menqada' kembali sebarang kewajipan yang telah ditinggalkan.


Hukum Taubat


Para ulama menjelaskan taubat adalah wajib bagi setiap dosa sama ada dosa kecil atau dosa besar. Taubat yang paling besar ialah taubat daripada kekufuran kepada keimanan. Kemudian taubat daripada dosa besar dan begitulah seterusnya.


Syarat-syarat Taubat

Imam al-Nawawi menyebut dalam ada tiga syarat yang perlu dipenuhi oleh orang yang bertaubat. Ini adalah taubat jika maksiat itu hanya antara kita dengan Allah dengan erti kata lain, tidak ada kaiatan dengan hak--hak manusia. Syarat-syarat tersebut ialah:

i) Meninggalkan daripada perbuatan maksiat tersebut.
ii) Menyesal atas perbuatannya
iii) Berazam tidak akan kembali melakukannya selama-lamanya.

Syeikh Soleh al-Uthaimin ttelah menambah syarat-syarat taubat sehingga menjadi lima perkara, iaitu:
i) Ikhlas kepada Allah

ii) Menyesal atas segala perbuatan maksiat
iii) Segera meninggalkan maksiat
iv) Berazam tidak akan kembali melakukannya
v) Taubat hendaklan berlaku dalam masa yang diterima oleh Allah

No comments: