Tuesday, August 18, 2009

DOA UNTUK SEMUA...


Salam mahabbah buat semua sahabat sahabiah. Kali ni terdetik untuk post doa yang menjadi amalan para pejuang agamaNYA. Moga dengannya, hati kita menjadi lebih kuat dan terus bersemangat berjuang dalam satu barisan yang tersusun kukuh/ satu jamaah.

Ya ALLAH, kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut namaMU, hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMU, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMU.


Ya ALLAH, kurniakan kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap.

Ya ALLAH, kurniakanlah kami cara hidup yang jitu dan unggul, selamat dari segala mara bahaya dan petaka. Kami mohon (Ya ALLAH) kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain. Berikanlah kami iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain daripada Engkau sendiri.


Ya ALLAH, kembangkanlah lembayung rahmatMU kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami. Jangan Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri , walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu.

Wahai Tuhan yang paling mudah dan cepat memperkenankan pinta (perkenankanlah). Amiiin...

DOA PENGIKAT HATI


Ya ALLAH, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini berkumpul kerana mengasihiMU, bertemu untuk mematuhi perintahMU, bersatu memikul beban dakwahmu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMU, maka eratkanlah Ya ALLAH ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNYA (yang sebenar). Penuhkanlah hati ini dengan cahaya RabbaniMU yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman/keyakinan dan keindahan tawakkal lepadaMU. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma'rifat (pengetahuan sebenar) tentangMU. (Jika Engkau mentakdirkan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMU. Engkau sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.


Ya ALLAH perkenankanlah permintaan ini.

No comments: